Brasilia: Fosil digelar saintis sebagai 'hell ant' (semut neraka) berusia 113 juta tahun yang dipercayai hidup sezaman dengan dinosaur, kini diiktiraf sebagai spesimen semut tertua yang diketahui sains, menurut satu kajian terbaharu.
Portal NDTV melaporkan, fosil itu ditemukan dalam koleksi di Muzium Zoologi Universiti Sao Paulo di Brazil.
'Semut neraka' yang diawet dalam batu kapur itu dikenal pasti sebagai anggota subfamili Haidomyrmecinae, yang kini pupus.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Current Biology pada Khamis lalu menyatakan subfamili ini hidup semasa Zaman Batu Kapur, antara 66 hingga 45 juta tahun lalu.
Berbeza daripada mana-mana spesies semut yang hidup sekarang, semut ini mempunyai cara unik untuk membunuh mangsanya.
Diberi nama Vulcanidris cratensis, semut ini mempunyai rahang berbentuk sabit yang dipercayai digunakan untuk mencengkam atau menikam mangsa.
Anderson Lepeco, penyelidik di Muzium Zoologi Universiti Sao Paulo berkata, beliau menyedari kewujudan spesimen luar biasa itu pada September tahun lalu, di muzium yang menyimpan satu daripada koleksi fosil serangga terbesar di dunia, termasuk dari Formasi Crato di timur laut Brazil.
Menurut Lepeco, beliau terkejut melihat "unjuran pelik" di bahagian hadapan kepala semut neraka itu, sambil menambah bahawa sebelum ini semut jenis ini hanya pernah ditemukan dalam spesimen ambar, bukan batu kapur.
Beliau dan pasukannya menjelaskan spesimen lain 'semut neraka' dari Zaman Batu Kapur sebelum ini bertarikh sekitar 99 juta tahun, dengan penemuan fosil dalam ambar di Perancis dan Myanmar.
Penemuan 'semut neraka' di Brazil ini menunjukkan bahawa kumpulan itu sudah tersebar luas di bumi dan berkembang awal dalam sejarah evolusinya.
Kajian itu juga mendakwa semut yang kini ditemukan hampir di semua benua kecuali Antartika, mula berkembang kira-kira 145 juta tahun lalu, pada penghujung zaman Jurasik dan awal Zaman Batu Kapur.